Dalam hidup ini manusia sememangnya akan melalui proses kegagalan dalam apa-apa jua perkara. Mungkin ada yang gagal dalam pelajaran, ada yang gagal dalam bidang pekerjaan dan mungkin juga dalam percintaan dan perkahwinan.
Apa pun kegagalan yang pernah aku lalui aku anggap sebagai satu ujian dari Allah S.W.T. ke atas hambaNya. Alhamdulillah, kalau dulu aku meratap menangis tapi kini aku telah dapat 'melihat' hikmah disebalik apa yang berlaku. SubhanaAllah, Maha Suci Allah...aku sedar, dalam aku melangkah...aku pasti akan diuji dengan ujian yang dirasakan cukup berat hingga aku terduduk dan menangis. Peritnya cukup terasa dan hanya aku yang memahami segala-galanya dan bukan insan lain. Insan lain tidak akan pernah mengerti apa yang tersirat jauh di dalam lubuk hati aku. Insan lain hanya bijak untuk membuat andaian dan tuduhan tanpa pernah cuba untuk mengerti apa yang aku lalui sejak aku mengenali dunia sehingga ke saat ini. Dan mereka tidak pernah menghiraukan hati dan perasaanku yang terluka. Dan yang cukup memedihkan bila mereka itu terdiri dari insan-insan yang ada hubungan kekeluargaan dengan aku.
Tapi bila kurenungkan kembali ke dalam diri, mungkin air mata tika itu hadir kerana DIA mahu aku menjahit kembali sejadah iman yang kian terkoyak lantaran ada langkah-langkah yang sedikit tersasar dari landasan keikhlasan. Mungkin juga air mata tika itu hadir untuk mengingatkan aku hakikat hidup di dunia ini umpama sebuah roda. Jika satu ketika dahulu aku sentiasa di atas, mungkin kini tiba ketikanya untuk aku berada di bawah dan bertatih kembali untuk kembali berada di atas.

Air mata sudah pastinya menjadi peneman setia. Tanpa emak, tanpa sahabat-sahabat, tidak mungkin aku kuat untuk menghadapi semua ini. Walaupun aku dan emak tidak pernah berbicara dari hati ke hati, namun emak seolah-olah memahami apa yang kutanggung. Adakalanya aku rasa seperti ingin lari dari semua ini, lari dari segala yang mengusutkan fikiranku. Namun yang pasti, tiada jalan penyelesaian kan aku temui andai aku asyik melarikan diri dari kenyataan yang cukup memeritkan ini. Aku perlu berani untuk menghadapinya. Namun ianya bukan mudah biar semua orang mengatakan apa yang terjadi adalah ujian Allah. Untuk berkata memang mudah, tapi untuk memujuk hati ini…arghh!!!
Untuk menghadapi kenyataan itu, aku perlu mencari kembali kekuatan dalam diriku yang hilang entah ke mana. Di suatu daerah di sebuah negeri pantai timur, aku menemui sebuah kedamaian dan ketenangan. Perlahan-lahan kuanyam kembali kekuatan dalam diri. Aku perlu bangkit semula. Ya, anak-anak kecil itu telah melembutkan hatiku. Anak-anak kecil itu telah mengembalikan kekuatan dalam diriku yang telah hilang. Anak-anak kecil itu telah mengejutkan aku dari kesedihan yang berpanjangan. Dan kerana anak-anak kecil itu, aku menjadi seperti hari ini. Pemergian insan yang cukup aku hormati buat selama-lamanya membakar semangatku untuk bangkit dari sebuah kegagalan biar ada kekesalan terpalit di hati kerana dia pergi tanpa sempat melihat kejayaanku. Tekadku, aku mahu Atuk dan Nenek melihat kejayaanku sebelum keduanya menutup mata. Aku mahu mereka berbangga memiliki aku sebagai cucu.
Buat sahabat-sahabatku, Puteri, Bakhtiar, Andy, Shuhada, Abang Nan, Kak Wa, Abang Wan...sekalung terima kasih kuucapkan di atas segala sokongan yang tak putus-putus. Terima kasih kerana menerima kekurangan dan kelemahan diri ini. Syukur, aku dipertemukan dengan kalian...sahabat dunia akhirat, insyaAllah. Buat Tn Enal, Tn Jon dan beberapa nama lagi yang tak kunyatakan di sini, terima kasih kerana sudi menceriakan hati ini tika duka dan derita bertamu. Buat emak tersayang dan keluarga...terima kasih kerana memahami Akak.
Alhamdulillah, jika aku tidak diuji sedemikian rupa, tidak mungkin aku menjadi seperti hari ini. Ya, kejayaan setelah kegagalan lebih manis berbanding kejayaan tanpa kegagalan. Dengan ujianMu ini ya Allah, aku merasai nikmat cintaMu...

Posted at 11:38 pm by IsmiHasni