
Bersama Kholah Faridah (PAKSI - JIM)
Sabtu, 1 Disember 2007 di kediaman Kholah Noor, Tmn. Koperasi Polis, Daerah Batu (dihurai dan dikemaskini semula oleh Ukhti Hasni banat Ihsan)
Siapakah orang ISLAM?
Islam kerana bersyahadah adalah komitmen
Apakah makna kehidupan?
Jika kita dapat menjawab semua persoalan ini, kita akan terasa indahnya hidup ini, bermaknanya hidup kita ini. Matlamat kewujudan insan adalah untuk mengenal Allah, memberi penuh ketaatan kepadaNYA dan mengabdikan diri padaNYA. Firman Allah dalam Adz-Zariyat ayat 56 : "Dan ingatlah aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."
Erti Muslim dari sudut aqidah adalah
-
berpegang dengan akidah yang benar lagi murni
-
selari dengan Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah
-
beriman dengan apa yang telah diimani oleh orang Islam terdahulu dari kalangan salafussoleh serta para Imam yang diakui kebaikan, kebaktian dan ketaqwaan mereka
-
kefahaman yang mendalam dan benar-benar yakin
Persoalannya, berapa lama masa kita telah peruntukkan dalam mencari Tuhan agar keyakinan dan iman kita kepada Allah itu menghujam ke dalam hati? Sudahkah kita mencari makna kehidupan ini? Adakah kita telah merasai hidup bertuhan (God consciousness)? Adakah kita merasa dilihat dan melihat Allah?
Nabi-nabi dan Rasul-rasul terdahulu juga turut mencari Tuhan agar keyakinan dan iman mereka terhadap Allah benar-benar menghujam hati. Sebagai contoh kisah Nabi Musa A.S. dalam mencari Tuhan seperti yang dirakamkan di dalam al-QurĄŻan surah al-A'raaf ayat 143 : "Dan tatkala Musa datang untuk (munajat dengan Kami) pada waktu yang telah Kami tentukan dan Tuhan telah berfirman (langsung) kepadanya, berkatalah Musa: "Ya Tuhanku, nampakkanlah (diri Engkau) kepadaku agar aku dapat melihat kepada Engkau". Tuhan berfirman: "Kamu sekali-kali tidak sanggup melihatKu, tapi lihatlah ke bukit itu, maka jika ia tetap di tempatnya (sebagai sediakala) niscaya kamu dapat melihatKu". Tatkala Tuhannya menampakkan diri kepada gunung itu, dijadikannya gunung itu hancur luluh dan Musa pun jatuh pengsan. Maka setelah Musa sedar kembali, dia berkata: "Maha Suci Engkau, aku bertaubat kepada Engkau dan aku orang yang pertama-tama beriman".
Kisah Nabi Ibrahim A.S. yang mencari Tuhan turut dirakamkan di dalam al-Qur'an surah al-Baqarah ayat 260 : "Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: "Ya Tuhanku, perlihatkanlah padaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati". Allah berfirman: "Belum yakinkah kamu?" Ibrahim menjawab: "Aku telah meyakininya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku)". Allah berfirman: "(Kalau demikian) ambillah empat ekor burung lalu cincanglah semuanya olehmu. (Allah berfirman): "Lalu letakkan dia atas tiap-tiap satu bukit satu bahagian dari bahagian-bahagian itu, kemudian panggillah mereka, niscaya mereka datang kepadamu dengan segera". Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Nabi Muhammad S.A.W. juga turut mencari Tuhan dengan beruzlah atau berkhalwat dari Baginda berusia 35 tahun dan akhirnya ketika baginda berusia 40tahun, baginda telah menerima wahyu pertama melalui malaikat Jibrail.
Siapakah kita hari ini? Kita adalah pemimpin muda. Muda ialah usia yang penuh dengan cita-cita yang tinggi dan darah yang bergemuruh serta beridealisme yang luas. Muda juga adalah usia di mana suka memberi pengorbanan, menabur jasa, menabur jasa dan juga berani. Sabda Rasulullah S.A.W. "Ambillah peluang 5 perkara sebelum datang 5 perkara iaitu masa muda sebelum datang masa tua, masa sihat sebelum datang masa sakit, masa kaya sebelum datang papa kedana, masa hidup sebelum datang kematian dan masa lapang sebelum datang masa sibuk".
Realiti hari ini sungguh menyedihkan. Manusia hari ini jauh dari Allah. Apakah peranan kita? Kita perlu melakukan reformasi (perubahan) ke atas diri sendiri dan insan lain. Kita juga perlu menukar segala corak pemikiran, kehidupan, perundangan dan akhlak jailiyyah kepada corak pemikiran, kehidupan, perundangan dan akhlak yang berdasarkan ketauhidan kepada yang Maha Esa. Kita juga harus berusaha untuk mengambil alih pimpinan dunia dari tangan Jahiliyyah kepada pimpinan yang berlandaskan al-Qur'an dan as-Sunnah. Kewajipan ini tidak akan gugur daripada menjadi kewajipan dan tanggungjawab pemuda-pemuda Islam sehingga kalimah Allah mengatasi kalimah-kalimah toghut dan orang kafir yang sentiasa mencari jalan menyesatkan umat-umat Ilsam - Manhaj Islam. Kita juga berperanan untuk mengembalikan ubudiyyah (penghambaan) manusia kepada Allah dalam segala urusan hidup mereka. Mengapa dikatakan manusia ini sebagai hamba? Tamsilannya, seorang hamba tidak boleh berhenti dari berkhidmat dengan tuannya, tetapi menteri atau pekerja boleh meletak jawatan atau berhenti dari berkhidmat kepada tuannya. Oleh itu ubudiyyah amat penting dalam segala urusan kehidupan manusia terutamanya seorang Muslim.
Hidup di bawah syariah. Apakah yang dimaksudkan dengan syariah? Syariah berasal dari kata syaari' bermaksud air; jalan menuju mata air atau jalan menuju kehidupan untuk mendapatkan rahmatan lil alamin. Islam bukanlah merupakan semata-mata pensyariatan dan perundangan sebaliknya Islam merupakan akidah yang mentafsirkan erti kehidupan, ibadah yang mendidik rohani, akhlak yang membersih jiwa, pemahaman yang memeperbetulkan gambaran, nilai-nilai yang mengangkat martabat manusia dan adab kesopanan yang menghiasi kehidupan.
Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Ahzab ayat 56: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya bersalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan untuknya".
~ Hidup ini indah seandainya ISLAM menjadi teras kehidupan
Banat Ihsan ~